Saudara,
Semalam, saya telah mengadakan lawatan rasmi bersama-sama dengan pegawai dari beberapa jabatan kerajaan ke Ladang Jeram Padang yang mempunyai 286 pekerja (Bhg Batu Bersawah dan Bhg Kepis) serta mengenalpasti perkara-perkara berhubung pengurusan, tanggungjawab sosial dan sesi berdialog dengan wakil union ladang tersebut. Pelbagai noktah telah diusulkan dan harapan saya adalah pihak pengurusan ladang Jeram Padang dan pihak NUPW dapat berkerjasama dalam menyelesaikan isu dalaman ladang tersebut. Saya juga membentangkan beberapa usul yang antaranya adalah gaji pekerja (gaji minima), pengurusan sisa oleh kilang, kemudahan perumahan, program Buku Hijau, pengangkutan anak-anak ke sekolah, kenderaan kecemasan, tanah perkuburan orang India, jalan kawasan estet, surau, bantuan am bagi rumah ibadat, masalah anjing liar, air dan elektrik, tiang lampu, dan lain-lain. Lawatan Rasmi yang sepatutnya berakhir dengan lawatan sekitar ladang tidak dapat dilaksanakan atas masalah cuaca (hujan).
Selepas lawatan tersebut, saya bersama dengan wakil peribadi di Jeram Padang En. Krishnan telah mengadakan lawatan ke Ladang Bukit Pilah. Saya begitu kagum dengan cara pengurusan ladang tersebut yang persekitarannya bersih dan selesa. Namun begitu, kebajikan rakyat memetik pandangan saya di mana terdapat juga kes tiada sijil lahir, OKU, kebajikan warga emas dan sebagainya. Saya telah mengarahkan wakil peribadi saya dan pegawai dari pejabat saya untuk mengadakan sesi bertemu warga Ladang Bukit Pilah dan pendaftaran hal ehwal kebajikan serta kem kesihatan dalam kadar yang segera.
Secara kesimpulannya, saya berpendapat hasil lawatan ke kedua-dua ladang jelas mempamerkan komitmen warga Jeram Padang ke atas usaha kerajaan Negeri Sembilan.
Sekian.
V.S. Mogan